Rabu, 29 April 2009

Sambutan Hari Pekerja

Jangan segan untuk ke sini dan sini...

Mengaji

Pengajian agama di masjid khariah aku hari ini mencatat sejarah apabila dihadiri cuma 3 orang termasuk tok guru... Aku ingatkan orang dah tak nak dengar pengajian agama dah, pasal selalunya pengajian-pengajian macam ni penuh sambil orang tunggu solat Isyak. Rupa-rupanya baru aku perasan pintu pagar yang paling mudah keluar-masuk berbanding dengan pintu pagar utama dikunci... Ape kes la tok siak ni???

MENGENAL KAPITALISMA GLOBAL

GLOBALISASI MODAL

PUTRAJAYA 22 April - Kerajaan hari ini memutuskan untuk meliberalisasikan 27 subsektor perkhidmatan berkuat kuasa serta-merta tanpa sebarang syarat ekuiti dikenakan. Ini bermakna syarat peruntukan ekuiti 30 peratus tempatan untuk subsektor berkenaan tidak lagi terpakai.Mengumumkan perkara itu di sini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, subsektor yang diliberalisasikan itu adalah dalam bidang perkhidmatan kesihatan dan sosial, pelancongan, pengangkutan, perniagaan, komputer dan yang berkaitan. Kata beliau, liberalisasi sektor perkhidmatan bertujuan membentuk satu persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menarik pelaburan, teknologi serta menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi. – DI PUNGUT DARI UTUSAN MELAYU

Minggu ini kita terbaca bagaimana Najib Razak terpaksa membuka lagi pasaran Malaysia kepada syarikat multinasional. Kaum pemodal luar negara kini dibenarkan membawa masuk modal untuk melabor dalam 27 subsektor termasuk juga bank dan hospital. Kalau dulu pelaboran luar hanya dibenarkan memiliki kepentingan pelaboran tidak lebih dari 30% kini dinding dan atap itu telah diruntuh.

Ini buktinya bagaimana perancangan kapitalisma global telah berjaya untuk memindahkan harta kekayaan rakyat dari Asia, Afrika dan Amerika Latin ke saku para banker dan pemodal Anglo-Amerika. Inilah buktinya bagaimana dasar pasaran terbuka dapat menerbus masuk ke dalam Dunia Ketiga.

Hujah memberi peluang pekerjaan selalu digunakan sebagai khidmat yang akan kita terima jika kaum pemodal antarabangsa ini masuk melabor. Kapitalis antarabangsa ini juga dikatakan akan membawa modal. Apakah ini betul ? Untuk memahami mari kita melihat dan memahami kembali apa itu duit dan apa itu modal.

Seperti yang telah saya terangkan dahulu duit yang kita gunakan ini adalah fiat money - kertas yang nilainya dipaksakan ke atas kita. Kertas ini dipaksakan ke atas kita kerana kita terikat dalam sistem kapitalis global. Kita menjerut leher kita dengan menerima dasar Bank Dunia, International Monetary Fund ( IMF) dan World Trade Organisation.

Dasar yang diajukan oleh lembaga-lembaga ini tidak pernah berniat untuk membantu kita. Tugas kapitalisma bukan membantu umat manusia tetapi membuat untung. Tidak ada orang yang memulakan satu perniagaan dengan tujuan untuk membantu. Kapitalisma bukan badan amal seperti Food Not Bomb.

Kita selalu mendengar bahawa banyak kilang ditutup di Singapura, Pulau Pinang atau Thailand kerana berpindah ke China atau Vietnam. Kenapa? Kerana upah buruh lebih murah di sana. Inilah buktinya bahawa kapitalisma bukan datang untuk membantu tetapi mencari untung. Jadi hujah mengatakan modal luar membuka peluang pekerjaan terbukti satu dongeng.

Dari mana modal datang? Modal ialah tenaga manusia. Justeru tidak munasabah jika kita katakan Malaysia tidak memiliki modal. Ini bohong. Di Malaysia ada lebih dari 20 juta warga – semua ini adalah modal. Apabila politikus mengatakan kita tidak memiliki modal atau dana – apa yang dimaksudkan ialah kita tidak memiliki kertas dolar.

Juga jangan lupa - keuntungan yang dibuat oleh kaum pemodal antrabangsa akan dibawa pulang ke negara masing-masing. Yang dibawa pulang itu ialah modal. Inilah sebab utama kenapa negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin terus menjadi miskin. Tenaga yang dicurahkan oleh warga dihisap oleh lintah-lintah darat ini.

Kerana kita tidak memiliki kertas dolar maka kerajaan kita ke hulu ke hilar meminjam dari Bank Dunia, IMF, bank-bank dari Eropah atau negara menjual bond. Ertinya kita meminjam duit dari para banker dan pelabur dari luar negara. Mereka sedia meminjamkan kepada kita untuk mendapat untung buta melalui bunga dan riba.

Mari kita lihat satu contoh sejarah yang berlaku di zaman Perang Saudara ( 1861-1865) di Amerika Syarikat. Ketika itu Presiden Abraham Lincoln cukup terdesak. Presiden Lincoln mungkin terpaksa meminjam duit dari para banker di Eropah yang amat bersedia meminjamkan duit dengan riba dan bunga yang tinggi.

Lincoln telah dinasehatkan untuk mencetak duit sendiri agar dapat membebaskan diri dari lintah darat para banker yang sedang memasang lukah di Pasar Selayang. Sebanyak 450 juta dolar - yang dipanggil greenbacks - telah dicetak. Wang ini berjaya membantu Lincoln membayar hutang piutang negara. Amerika di zamam Lincoln telah bebas dari berhutang dengan para banker dari Eropah. Dari segi sejarah ketika Lincoln menjadi Presiden ekonomi Amerika berkembang permai.

Ringgit yang kita gunakan hari ini dinilaikan dengan bandingan kertas dolar. Tetapi kertas dolar yang menilai ringgit ini pada hakikatnya tidak memiliki apa-apa nilai. Majoriti warga Malaysia hanya memiliki nilai keyakinan untuk menjalankan pertukaran melalui ringgit. Kertas ringgit ini bertujuan untuk menyenangkan kita berjual beli tidak lebih dari itu. Kertas ringgit ini juga adalah fiat money yang tidak berasaskan emas atau perak. Ia hanya berasaskan keyakinan warga Malaysia.

Justeru jika sesebuah negara dapat membebaskan dari belenggu kertas dolar maka negara itu boleh mencetak duit mereka sendiri – seperti yang telah dilakukan oleh Abraham Lincoln. Jika negara mencetak duit sendiri maka negara tidak akan memiliki masalah hutang. Kita mencetak kertas ringgit kita sendiri tanpa merujuk kepada Bank Dunia atau IMF. Atau meminjam dari mereka.

Saya yakin warga akan menerima pakai kertas ringgit yang kita cetak untuk kita bersama membangunkan negara. Tidak timbul masalah negara tidak memiliki modal. Tidak timbul masalah negara tidak ada dana. Kenapa kita menjadi bodoh meminjam kertas dolar dari IMF atau Bank Dunia atau menyimpan dolar sebagai duit simpanan negara walhal kertas dolar ini juga tidak bersandarkan emas atau perak. Nilainya dipaksakan ke atas kita.

Amat jelas - Bank Dunia, World Bank dan IMF adalah lembaga kapitalis yang menjual kertas kosong kepada kita. Kenapa kita membeli kertas kosong dengan harga yang mahal walhal kita boleh membuat kertas itu sendiri.

Apa yang saya katakan ini kelihatan cukup enteng. Lalu timbul persoalan – kalau bagini senang kenapa kerajaan tidak melakukan sesuatu? Jawabnya juga cukup enteng – kerajaan Malaysia hari ini sedang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Negara kita terikat dalam satu sistem kapitalis global.

Perangkap kapitalis global ini telah dipasang oleh kabal Illuminati untuk kepentingan para banker seperti Rockefeller dan Rothschild telah memerangkap kita. Pemimpin politik kita tahu jika mereka cuba membebaskan diri dari sistem kapitalis global ini maka mereka akan dijatuhkan.

Sejarah menunjukkan bahawa United Malays National Organisation ini dinaikkan oleh penjajah British melalui Tunku kerana gerombolan ini tidak akan melawan atau menentang kepentingan kaum pemodal Anglo-Amerika. Gerombolan ini dipilih oleh British kerana mereka akan menjaga kepentingan kaum pemodal melalui seribu satu macam undang-undang yang bukan bertujuan menjaga kepentingan kaum pekerja dan buruh tetapi menjaga kepentingan kaum pemodal.

Hanya sebuah kerajaan rakyat yang berpaksikan kekuatan rakyat sahaja yang dapat membebaskan diri dari belenggu kapitalis global. Satu ketika dahulu Indonesia dibawah pimpinan arwah Bung Karno adalah contohnya. Iran di bawah pimpinan arwah Mussadigh satu lagi contoh.

Hari ini contoh terdekat ialah Cuba yang dipimpin oleh Castro, Korea Utara yang dipimpin oleh Kim Jong-il , Venuzuela di bawah Chavez dan Iran di bawah Ahmadinejad – adalah negara-negara yang cuba membebaskan dari sistem kapitalis global. Lihatlah berapa banyak konspirasi dan propaganda telah, sedang dan akan dilakukan untuk merobohkan benteng ekonomi negara-negara ini. Modal global melihat negara-negara yang ekonominya berdiri bebas sebagai musuh mereka.

Lalu persoalan timbul kenapa kita semua tidak melakukan sesuatu dan membiarkan diri kita terus ditipu bulat-bulat untuk sekian lama?

Sesiapa yang berani mengeluarkan soalan seperti ini maka susuk ini adalah susuk yang memiliki fikrah merdeka. Susuk ini berfikiran progresif kerana ingin membebaskan diri dari belenggu kapitalisma. Susuk-susuk yang sedar dan tidak mahu ditipu oleh kertas dolar. Jika semakin ramai yang menimbulkan soalan ini ada kemungkinan Malaysia negara kita ini akan menuju ke zaman pencerahan. (TT)

( Tulisan ini boleh diambil untuk kegunaan membuat kebaikan )

Tulisan diambil di blog pengarang http://tukartiub.blogspot.com/

Rintihan Pak Raja!!!

Isk... macam-macam...

Isnin, 27 April 2009

Sajak Untuk Kalian

oleh Muhaimin Sulam untuk dinikmati bersama...

Setiap kali pilihanraya diadakan

adalah sambutan kenduri kematian
akal budi
yang diraikan secara besar-besaran
dengan bendera
lambang
dan manifesto

Dan sering langit pagi itu
serta bumi, gunung yang berdiri hampir lumpuh
mendengar sang pemimpin melaungkan
suara keadilan,
suara kebajikan
dan suara keamanan
dengan kata yang mengisi perut
dan otak rakyat

Sedalam-dalamnya dilaungkan daripada
awal hingga penghujung pidato
di kaca tv, pasar, dewan dan mimbar masjid
betapa aku juga mahukan keadilan
kebajikan
dan keamanan

Sedang di luar sana,
berpuluh ribu mahasiswa mencari kerja
masih terus berbangga dengan handset
yang dibayar oleh poket ibubapa mereka sendiri

Sedang di luar sana,
beratus ribu petani mengais subsidi
terus membajak tanah, memugar tanaman
untuk membayar zakat

Sedang di luar sana
beratus ratus ribu pekerja di kilang dan pejabat
beratur membayar hutang keliling pinggang
bil kehidupan, saman, tuntutan lapuk
dan yuran persekolahan anak

Lalu siapa yang menang
membakar si kalah searang-arangnya
agar terus menjadi abu

Kemudian, dilaungkan lagi
suara untuk keadilan,
kebenaran
dan keamanan.

Di luar sana, berjuta-juta rakyat
tidak lagi bertanya
keadilan
kebenaran
dan keamanan
untuk siapa?

Kerana keadilan, kebenaran dan keamanan itu sudah
dilenyapkan selepas kemenangan.

Swansea. 25 okt. 2009

Aku tak tahu mengape tarikh itu begitu... kesilapan typo kot...

Ahad, 26 April 2009

Bolehkah orang Islam jadi liberal?


oleh Wan Saiful Wan Jan, diambil tanpa izin dari Malaysiakini atas tujuan ilmu.

Saya sering ditanya oleh rakan-rakan dua soalan: "Bolehkah orang Islam jadi liberal?" dan "Bagaimana mungkin seorang ahli PAS menyokong fahaman liberal? Bukankah Islam itu sudah lengkap?"

Kedua-dua soalan ini menunjukan betapa ramai yang terkeliru dengan maksud perkataan ‘liberal’.

Tidak mudah untuk menghurai kekeliruan mengenai fahaman liberalisme. Namun, dalam artikel pendek ini, saya akan cuba menjelaskan erti liberalisme yang saya fahami dan kenapa saya tidak nampak percanggahan antara akidah Islam dan juga fahaman liberal.

Sebelum itu, saya perlu membuat satu penjelasan yang penting. Perkataan ‘liberal’ kerapkali disalahgunakan hinggakan penggunaannya kadangkala lari daripada maksud sebenarnya.

Di Amerika Syarikat, perkataan liberal telah dicuri oleh mereka yang menyokong campur tangan kerajaan dalam hal-ehwal peribadi rakyat (contohnya Parti Demokrat).

Di Malaysia pula, jika disebut sahaja perkataan ‘liberal’, maka biasanya yang datang dalam fikiran ialah ‘Islam liberal’.

Saya tidak termasuk dalam kedua-dua kelompok ini. Saya seorang yang berpegang dengan falsafah liberalisme klasik, atau di Amerika, biasanya ia dipanggil falsafah libertarianisme.

Untuk mengelak lebih banyak salah faham, maka saya akan menggunakan perkataan libertarian dalam artikel ini.

Kedaulatan undang-undang

Liberalisme klasik atau libertarianisme bukan satu falsafah baru. Prinsip asas libertarianisme ialah keyakinan terhadap adanya satu “peraturan tertinggi” dan prinsip ini boleh dikesan dalam falsafah lama Yahudi dan Greek purba.

Prinsip ini bermaksud semua manusia, daripada pemerintah kepada yang diperintah, tertakluk kepada sebuah peraturan yang sama.

Kedatangan Islam pula telah mengukuhkan keyakinan terhadap prinsip “peraturan tertinggi” yang diteroka sejak sebelum zaman Nabi Musa lagi.

Malahan Islam dengan jelas mengajar bahawa mereka yang berkuasa tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan kuasa mereka untuk memaksa rakyat mengikut telunjuk mereka. Pemerintah juga tertakluk kepada undang-undang.

Libertarianisme tidak menyeru kepada pemansuhan atau pengabaian terhadap peraturan dan undang-undang. Sebaliknya, libertarianisme adalah satu panggilan agar semua manusia mematuhi undang-undang yang sama tanpa pengecualian kerana wujudnya kedaulatan undang-undang.

Konsep ini adalah perlindungan terbaik daripada kediktatoran dan totalitarianisme. Jika tidak wujud kedaulatan undang-undang, maka yang berdaulat adalah manusia.

Perampasan kedaulatan undang-undang oleh segelintir manusia yang memerintah akan membolehkan mereka memaksa rakyat hidup mengikut telunjuk mereka.

Sekiranya prinsip asas libertarianisme ini tidak dihiraukan, maka akan wujudlah totalitarianisme seperti di negara-negara komunis dan fasis yang pastinya tidak Islamik.

Kerajaan terhad

Pemerintah mempunyai kuasa untuk memaksa masyarakat bawahan tunduk kepada mereka dengan menggunakan akta-akta parlimen, peraturan, undang-undang, tentera, polis dan sebagainya.

Pendek kata, wujud ketidaksamarataan kuasa antara rakyat dengan pemerintah.

Untuk memastikan pemerintah tidak menyalahgunakan kuasa mereka, maka kuasa kerajaan perlu dihadkan. Tanpa had yang jelas, kerajaan berkuasa penuh untuk meluluskan undang-undang dan akta-akta yang mengongkong kehidupan manusia, seterusnya melahirkan satu sistem yang tidak ubah seperti kediktatoran.

Prinsip kerajaan terhad ini juga satu prinsip yang penting dalam libertarianisme.

Kuasa kerajaan terhasil daripada amanah yang diberikan oleh rakyat. Tetapi kerajaan boleh menjadi terlalu berkuasa sehingga ia mencengkam dan membahayakan rakyat itu sendiri terutamanya apabila kerajaan meluluskan peraturan-peraturan yang memaksa rakyat taat dan patuh kepada mereka.

Untuk menghadkan kuasa kerajaan dan menghalang mereka daripada menjadi diktator, maka negara-negara biasanya mempunyai perlembagaan yang memperincikan dan memperjelaskan sempadan antara hak kerajaan dan hak rakyat.

Sebagai seorang Muslim, saya menentang sepenuhnya konsep kediktatoran dan pemusatan kuasa. Islam tidak mempunyai kuasa pentadbiran berpusat dan dengan itu Islam mempertanggungjawabkan penganutnya untuk memilih cara hidup yang terbaik, dan menganjurkan agar penganutnya menuntut ilmu agar mereka boleh membuat keputusan yang tepat.

Inilah sebabnya saya juga yakin bahawa pemerintah mestilah memperkuasakan rakyat untuk membuat keputusan yang terbaik dan tidak memaksa rakyat patuh kepada keputusan-keputusan yang dibuat oleh pemerintah sahaja.

Individu merdeka

Apabila kuasa sesebuah kerajaan dihadkan, maka setiap individu rakyat menjadi merdeka untuk memilih apa yang terbaik dalam kehidupan mereka selagi mana mereka tidak melakukan keburukan terhadap orang lain.

Libertarianisme melihat individu sebagai elemen paling asas dalam masyarakat kerana perkumpulan individu-individu inilah yang akhirnya membentuk sesebuah masyarakat. Setiap individu merdeka boleh memilih apa yang terbaik untuk mereka, berdasarkan pengetahun mereka sendiri.

Prinsip individu merdeka ini selaras dengan keyakinan kita bahawa Islam datang untuk memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia agar seseorang Muslim itu boleh menghambakan diri kepada Allah semata-mata.

Menafikan kemerdekaan individu seolah-olah menafikan satu anugerah yang diberikan oleh Tuhan kepada manusia. Sebagai seorang Muslim, saya melihat mereka yang memperhambakan manusia lain seolah-olah cuba merampas tempat Allah dalam kehidupan manusia.

Setiap individu mestilah menghormati maruah individu lain tanpa mengira agama, bangsa atau jantina mereka – maksudnya, kita perlu menghormati perbezaan antara satu individu dengan individu lain.

Konsep individu merdeka juga bermaksud setiap individu mempunyai hak dan tanggungjawab, seperti hak untuk dihormati oleh orang lain, dan tanggungjawab untuk menghormati orang lain.

Paling penting, konsep individu merdeka bermaksud kerajaan tidak boleh masuk campur dalam hal-hal peribadi seseorang rakyat. Selagi mana individu tersebut tidak melakukan keburukan terhadap orang lain, selagi itulah kerajaan tidak boleh masuk campur.

Pasaran bebas

Memang diketahui umum bahawa seorang libertarian biasanya menyokong pasaran bebas. Tetapi terdapat banyak salah faham mengenai sebab kami menyokong pasaran bebas.

Terdapat dakwaan bahawa kami menyokong pasaran bebas kerana kami tidak mempedulikan nasib golongan miskin dan kami mahu membiarkan wujudnya jurang antara kaya dan miskin. Tuduhan liar ini salah sama sekali.

Sebenarnya libertarian menyokong pasaran bebas kerana hanya sistem ini sahajalah yang boleh menjamin maruah individu dihormati. Pasaran bebas membolehkan setiap individu memilih sendiri barangan dan perkhidmatan menggunakan akal yang diberikan oleh Tuhan.

Penafian kebolehan setiap individu untuk berfikir sendiri seolah-olah menyatakan bahawa mereka itu semuanya bodoh kerana tidak boleh berfikir sendiri. Menyekat pilihan di pasaran seolah-olah menafikan anugerah akal pemberian Tuhan kepada manusia.

Tidak ada penghinaan yang lebih besar terhadap maruah seseorang manusia selain itu.

Sesetengah pihak, terutamanya golongan sosialis, suka berhujah bahawa kerajaan perlu memastikan kesamarataan dalam masyarakat. Mereka ini salah dari dua sudut.

Pertama, sebagai seorang Muslim, saya percaya bahawa Tuhan telah menciptakan kita semuanya sama rata. Ini lebih penting daripada apa-apa usaha kerajaan untuk mewujudkan kesamarataan ekonomi, terutamanya jika usaha kerajaan tersebut membayangkan seolah-olah Allah tidak memberikan saya akal untuk membuat keputusan sendiri.

Kedua, kita boleh melihat sendiri betapa setiap kali kerajaan cuba mewujudkan kesamarataan ekonomi, hasilnya adalah lebih banyak ketidaksamarataan. Contohnya, lihat sahaja Dasar Ekonomi Baru di Malaysia.

Setelah berpuluh-puluh tahun kerajaan cuba memaksa rakyat menjadi sama rata, adakah usaha tersebut berjaya?

Sebab itulah saya bingung apabila mendengar ahli-ahli politik berkata bahawa mereka mahu membetulkan kegagalan kerajaan melalui lebih banyak campur tangan kerajaan dalam kehidupan rakyat, kali ini dengan cara mewujudkan negara kebajikan.

Adakah kita mahu jatuh dalam lubang yang sama buat kali kedua?

Bolehkah menjadi libertarian?

Sebagai seorang Muslim, saya sering mengimbau sejarah umat Islam terdahulu dan bagaimana mereka membina tamadun yang masyhur tanpa banyak bergantung kepada sogokan kerajaan.

Pada masa itu setiap manusia, baik pemerintah mahupun yang diperintah, tertakluk kepada undang-undang yang sama. Setiap Muslim bertanggungjawab terhadap tindakan masing-masing. Kerajaan pada masa itu lebih banyak berperanan dalam bidang pertahanan dan keamanan.

Umat Islam pada waktu itu merupakan pedagang yang berjaya dan mereka beroperasi dalam sistem pasaran global yang bebas. Rasulullah dan isteri baginda merupakan peniaga-peniaga yang berjaya.

Ramai sahabat baginda yang turut menjadi kaya-raya hasil titik peluh mereka sendiri. Mereka semuanya beroperasi dalam sistem pasaran dunia yang terbuka. Malahan, kerajaan pada zaman awal kegemilangan Islam tidak campur tangan dalam urusan pendidikan, kesihatan mahupun pengurusan masjid.

Semuanya diuruskan sendiri oleh rakyat, biasanya melalui sistem wakaf. Hasilnya, masjid-masjid, pusat-pusat pengajian, dan juga banyak lagi perkhidmatan awam, dapat berfungsi dengan cemerlang demi kebaikan rakyat, tanpa sebarang gangguan politik.

Saya berkeyakinan bahawa itulah model terbaik untuk Malaysia.

Falsafah libertarianisme mendukung kedaulatan undang-undang dan sistem pasaran bebas, menyeru agar kuasa pemerintah dihadkan, dan menuntut agar manusia dimerdekakan daripada penghambaan sesama manusia supaya tidak ada manusia lain yang boleh merompak kedudukan Tuhan dalam kehidupan kita.

Sebagai seorang Muslim, bolehkah saya menentang semua ini?


Wan Saiful Wan Jan ialah ketua pengarah kumpulan pemikir Malaysia Think Tank di London

Rabu, 22 April 2009

MENGENAL KAPITALISMA

KEDAULATAN DAN GLOBALISASI


Lupakan kedaulatan Sultan Perak. Lupakan kedaulatan Raja-Raja. Semua ini adalah ciput. Semua kedaulatan ini tidak akan diambil kira dalam agenda globalisasi yang sedang berjalan hari ini. Semua Tan Seri, Tan Tun, Mak Datin , Pak Haji, Ayatollah, Padri, Sami, Rabbai atau apa sahaja bentuk manusia semuanya menjadi ciput dalam agenda baru yang sedang berjalan hari ini.

Tuhan baru telah muncul. Tuhan yang dibawa oleh sistem kapitalis. Tidak percaya? Sila renung dan periksa diri sendiri. Sistem ekonomi kapitalis telah menjadikan manusia berebut-rebut untuk mengumpul harta. Sistem ekonomi kapitalis telah melahirkan satu budaya dimana umat manusia dalam dunia ini terlupa dan terlalai bahawa kita hanyalsh bertransit di atas muka bumi ini.

Budaya kapitalis ini telah mencakupi semua aspek kehidupan manusia. Manusia moden kurun ke 21 telah dilalaikan untuk menjadi binatang konsumer yang mengguna dan mengumpulkan pelbagai ‘biji-biji saga’ dan barangan kodi untuk mainan. Manusia moden telah menjadi seperti Toyol yang asyik bermain dengan biji-biji saga hingga terlupa bahawa tujuan hidup ini adalah untuk mengenal diri sendiri dan melakukan kebaikan.

Sistem kapitalis telah membawa satu budaya dimana ianya mengasak, meraba dan merangsang sifat jahat dalam diri manusia. Hukum induk ekonomi kapitalis - keuntungan maksima – telah melupuskan nilai baik yang sedia wujud dalam diri manusia.

Justeru apakah kita hairan apabila kita terbaca dalam akhbar bagaimana pembekal susu tepong di Tanah Besar China telah membubuh malamin dalam tepong untuk dijual sebagai susu. Mereka menjual susu ini bukan kepada orang Sweden tetapi kepada bayi-bayi China sanak saudara mereka sendiri.

Justeru apakah kita hairan apabila kita membaca berita di Sepanyol dan Portugal ada pembekal minyak zaiton telah membubuh minyak hitam yang sudah terpakai untuk dijual sebagai campuran minyak zaiton.

Justeru apakah kita hairan apabila membaca bagaimana kontrektor Bumiputera yang bersunat dan selalu naik umrah telah membuat bangunan sekolah, bilik makmal dan hospital dengan menggunakan barangan tidak berkualiti dan akhirnya bangunan-bangunan ini runtuh rantah.

Semua ini dilakukan kerana mereka hidup mengikut hukum dan budaya kapitalisma. Keuntungan maksima adalah tuhan baru yang sedang disembah. Selama 30 tahun kebelakangan ini tuhan baru ini telah muncul dimerata pelusuk dunia. Tuhan ini akan berada dimana sahaja wujudnya sistem ekonomi kapitalis termasuk di Malaysia.

Tiga puluh tahun dahulu – air, api, jalan raya, hospital, bank, sekolah, universiti, talipon, radio, tv – semua ini adalah milik kita bersama. Semua ini adalah hak milik negara bermakna hak milik orang ramai. Tiba-tiba harta orang ramai ini diswastakan.

Siapa sebenarnya yang menelorkan dan mencadangkan dasar penswastaan ini. Dasar ini dimunculkan oleh pemikir kabal-kabal Illuminati. Para pemikir dari pelbagai ‘think tank’ ini yang telah mengajukan agenda penswastaan kepada Bank Dunia dan IMF sebagai satu usaha untuk apa yang mereka panggil – cara untuk memperbaiki dan mengembangkan ekonomi di negara-negara sedang membangun.

IMF dan Bank Dunia menjadikan penswastaan ini sebagai dasar untuk diterima pakai. Negara Dunia Ketiga yang miskin jika ingin meminjam dana dari bank-bank antarabangsa diwajibkan menjalankan dasar penswastaan. Penswataan bermakna menjualkan harta hak milik orang ramai kepada kaum kapitalis antrabangsa.

Di belakang dasar penswastaan ini ialah para banker dari kabal Illuminati. Para banker yang telah mengumpulkan berbilon kertas dolar memerlukan pasarana pelaboran baru. Hukum ekonomi kapitalis mewajibkan kaum pemodal terus mencari pasaran baru. Di Eropah Barat pasaran telah tepu. Maka kabal Illuminati telah mengarahkan Bank Dunia dan IMF memaksa dibuka seluas mungkin pasaran di negara Dunia Ketiga. Hasilnya kita melihat harta negara kita –air, talipon, tv, jalan raya, hospital, bangunan, bank – semuanya bertukar tangan.

Apabila Perang Dingin tamat lihat apa yang telah terjadi kepada Russia dan Eropah Timur. Negara-negara ini sedang mengamalkan sistem ekonomi sosialis telah diasak dan di serang. Russia telah dipecah-pecahkan. Perang telah dicetuskan di Bosnia, di Kosovo, di Montenegro dan di Chechen – semua ini adalah perancangan licik untuk memaksa harta rakyat di Eropah Timur di jual kepada kaum pemodal antrabangsa.

Sesudah dasar penswastaan di terima pakai – kita mula terdengar apa yang dikatakan - Dunia Tanpa Sempadan. Dunia tanpa sempadan ini ialah agenda Illiminati untuk melupuskan kedaulatan negara. Dunia tanpa sempadan bukan bererti orang Afrika boleh senang-senang masuk ke Eropah. Dunia tanpa sempadan bukan bererti buruh rakyat Pakistan boleh masuk ke Jepun untuk mencari kerja.

Tanpa sempadan hanyalah untuk duit modal masuk ke mana sahaja untuk mencari untung. Modal antarabangsa ini tidak boleh diganggu gugat ketika modal ini sedang mencari keuntungan maksima dimana sahaja dalam dunia ini. Dunia tanpa sempadan ialah untuk para pelaboran antarbangsa bermain ‘tikam dan berjudi’ di pasaran saham negara-negara Dunia Ketiga. Lihat apa yang berlaku di Asia Tenggara pada tahun 1997 dahulu. Lihat bagaimana kaum kapitalis antarabangsa telah menerbus masuk dan menekan negara-negara Asia Tenggara dan akhirnya banyak hospital kita terjual, talipon kita terjual, sistem pendidikan kita terjual.

Lihat Tesco, Carrefour, Giant, Court Mamoth, AIA, ING, Ikea, Burger King, MacDogal, Shell, Esso – semua ini adalah milik pemodal antarabangsa. Semua ini dipaksakan ke atas pasaran kita melalui perjanjian World Trade Organisation (WTO). WTO memaksa negara Dunia Ketiga membuka pasaran untuk pemodal antarabangsa masuk mencari untung.

Perjanjian WTO ini adalah perjanjian terbuka yang berat sebelah – sama seperti perjanjian-perjanjian East India Company yang telah dibuat oleh Sultan Johor dengan Raffles pada tahun 1819 dahulu. Sama seperti perjanjian Sultan Kedah dengan Francis Light pada tahun 1786. Sama seperti Perjanjian Pangkor 1874 yang akhirnya Tanah Melayu jatuh ke tangan British.

Dari zaman penjajah dahulu cita-cita kaum pemodal kapitalis ini untuk memiliki dunia ini tidak pernah padam-padam. Cita-cita kaum pemodal antarabangsa ini untuk menjadikan umat manusia sebagai hamba adalah manifesto New World Order. Kabal-kabal Illuminati saban hari merancang. Hari ini semua strateji telah di rancang. Semua telah di susun. Para banker di belakang Iluminati sedang dalam persediaan akhir untuk melahirkan apa yang mereka katakan – New World Order atau Dunia Bentuk Baru.

Lihatlah nanti bagaimana kabal-kabal Illuminati ini akan memaksa Malaysia untuk menanda tangani Free Trade Agreement. Dalam perjanjian ini tidak ada yang ‘free’. FTA ini akan memaska kita terus membuka semua pasaran negara kita untuk kaum pemodal antarabanga mencari keuntungan maksima.

New World Order ini adalah dunia baru dimana kedaulatan negara tidak wujud lagi. Rancangan NOW ini sedang diatur – Canada, Amerika dan Mexico telah disatukan – kemudian seluruh Selatan Amerika akan dijerut masuk. Eropah sedang bersatu – ini akan menjerut masuk Afrika dan Timur Tengah. Asia akan dikepali oleh Jepun yang akan menjerut semua negara di Asia.

Lihat sekarang telah wujud Asean dan Apec untuk Asia , African Union untuk Afrika dan Union of South American Nations untuk Amerika Latin. Semua ini adalah perancangan Illuminati. Semua ini direstui oleh kaum pemodal antarabangsa. Rancangan akhir mereka ialah untuk memastikan semua rakyat dunia ini akan tunduk kepada kuasa mereka.

Dalam masa yang tidak lama lagi manusia akan di cap dengan microchip. Tak percaya? Bukankah idea ini telah terkeluar dari mulut seorang pegawai polis Malaysia tiga tahun dahulu dan berita ini telah dilaporkan dalam Utusan Malaysia. Microchip ini untuk bayi yang baru lahir – atas alasan untuk mengekori penjahat.

Tetapi hakikatnya microchip ini ialah untuk mengawal semua umat manusia agar tunduk kepada sistem ekonomi kapitalis. Umat manusia akan taat bekerja dari jam 9 hingga 5 – bercuti Sabtu Ahad. Jika sopan dan tekun mereka akan dapat gaji untuk membeli kondo, ipod, kancil, kasut Prada, beg Luis Vuitton dan pelbagai jenis ‘biji-biji saga’ yang dijanjikan. Sila baca 1984 oleh George Orwell dan tonton filem Metropolis oleh Fritz Lang.

Ini bukan satu dongeng konspirasi. Ini bukan plot sebuah novel yang belum siap. Ini adalah hakikat politik dunia hari ini. Memahami politik dunia hari ini amat penting. Jika kita gagal untuk memahami garis dan strateji Illuminati maka kita tidak akan melawan. Jika tidak bangun melawan maka umat manusia dalam dunia ini akan dijadikan hamba abdi.
(TT)

( Tulisan ini boleh diambil untuk kegunaan membuat kebaikan )

Tulisan diambil di blog pengarang http://tukartiub.blogspot.com/

Selasa, 21 April 2009

Pentas 152 - Amanat buat Pejuang Muda


Program anjuran AIC ini adalah sempena gagasan menentang dasar PPSMI. Buat pejuang muda yang bangga dengan jiwa bangsa - Bahasa Melayu. Mari sertai Pentas 152 untuk mendengar amanat dari Pak Samad - mantan Sasterawan Negara. Datang beramai-ramai. Alamat Rumah Kelab AIC adalah seperti di bawah ini :

Tarikh : 26 April 2009 (Ahad)

Tempat :
Rumah Kelab AIC, 17, Jalan 16/2,
Seksyen 16 Petaling Jaya, Selangor.

Waktu : 8.30 malam

Jumaat, 17 April 2009

MUSIC VIDEO! "pengembara cahaya" by Space Gambus Experiment



Space Gambus Experiment :
Zulkifli Ramli - Gambus/Oud
Kamal Sabran - Electroacoustic

Videographer :
Md Pazil Kamaruddin
Kamal Sabran

Edited & Directed by :
Kamal Sabran

Filmed on location in
Kamal's home studio, Ipoh Perak Malaysia
13 April 2009

+ the track contains real signals from outer space (Jupiter's radio wave)
captured by the artist with tremendous helps by a group of scientist in National Space Agency Malaysia.

Space Gambus Experiment
is a project group by Kamal Sabran and Zulkifli Ramli. Their musical style is based on various experimentation on Gambus/oud with electro-acoustic approach in music making.

Enjoy!!!

Sabtu, 11 April 2009

Kajian Semiotik (tiru tajuk posting Hanim YKP)


Gambar diambil oleh saudara Syed di salah satu pusat pembuangan undi di Bukit Gantang dalam rangka lawatan kami (aku, Syed & Fahmi) ke sana sempena PRK (7 April 2009) baru-baru ini...

Isnin, 6 April 2009

SALORAN PECHAH...


Velvet Underground - Venus in Furs

Jumaat, 3 April 2009

Sumbangan Dana Untuk Album ‘Dari Rakyat Untuk Rakyat’ dendangan Meor

Nama Meor bukan lagi asing bagi penikmat muzikal jalanan (busker) terutama di Central Market. Sang penulis lagu dan pelantun suara ini juga telah berjaya menyiapkan 6 album sepanjang beliau digelar seniman jalanan. Tergerak daripada cuit-muit, sepak terajang dunia elitas dan sensitiviti beliau terhadap golongan marhaen maka tercetuslah ilham bagi merakamkan album yang diberi judul 'Dari Rakyat Untuk Rakyat’. Sesuatu perkara yang menarik tentang album yang bakal terbit ini ialah kerana kesemua lirik disumbangkan oleh mereka yang komited dalam perjuangan dengan cara masing-masing seperti Black (Amin Iskandar) , Rahmat Haron, Ubi Lepih, Abdullah Jones, Hishamuddin Rais, Amer Hamzah Arshad dan Pyan Habib. Merujuk kepada judul album yang merakyat maka Meor mengajak semua sosok yang bergelar rakyat untuk sama-sama menggalang dana menerbitkan album yang memberahikan kejujuran sejurus sebagai satu tatapan generasi esok...

Nama : Meor Yusof Aziddin Meor Hassan

Tempat Lahir :
Bruas, Perak

Mentor :
:: Bob Dylan
:: Beatles
:: Pink Floyd
:: Nick Drake
:: Cat Steven
:: Iwan Fals
:: Ebiet G. Ade
:: Gombloh
:: Dewa19
:: Padi
:: Kembara
:: King Crimson

Album:
:: Pesta Jiwa
:: Pesta Jiwa II
:: Itu Padang Aku Di Situ
:: Aku Dan Bulan
:: Yang Terlintas Di Fikiran
:: Sakrat

Catatan :
Meminati karya sastera seperti tulisan-tulisan daripada Pramoedya Ananta Teor, Usman Awang, Hamzah Fansuri, Fariuddin Attar, Chairil Anwar, Iqbal, Jalaluddin Rumi, Suhaimi Hj Muhammad, William Brake dan ramai lagi yang mana banyak mempengaruhi penulisan lirik-lirik Meor.

Khaifiat Sumbangan Dana :
Rujuk ke blog saudara Meor di sini...

Kredit :
http://www.pestajiwa.net/2009/03/this-is-realdrurdari-rakyat-untuk-rakyat/
http://aminiskandar.wordpress.com/2009/04/11/mohon-sumbangan-dana-untuk-pembikinan-album-drur/
http://kulupsakah.blogspot.com/2009/04/dari-rakyat-untuk-rakyat.html
http://abdullahjones.blogspot.com/2009/04/ketapang.html
http://ceritawayang.blogspot.com/2009/04/double-attraction.html